Thursday, January 28, 2010

Kini dikenali sebagai JKKKP

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB JAWANTANKUASA KEMAJUAN DAN KESELAMATAN KAMPUG BARU

1. PENDAHULUAN

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan institusi penting untuk mendapatkan kerjasama rakyat dalam pelaksanaan program-program pembangunan khasnya diperingkat akar umbi. Program Pembangunan Kerajaan dapat disalurkan dengan berkesan kepada rakyat melalui JKKK. JKKK juga boleh memainkan peranan sebagai agen perubahan dan badan penghubung di antara rakyat dan kerajaan dalam usaha memajukan pemikiran mereka serta menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi. JKKK juga dapat memberi maklumbalas kepada kerajaan mengenai keperluan dan kehendak-hendak rakyat diperingkat akar umbi serta menjadi “telinga dan mata” Kerajaan.

2. PERANAN JKKK DI KAMPUNG BARU

2.1 Peranan JKKK di Kampung Baru adalah sebagai badan penggerak diperingkat Kampung Baru. Pengerusi-pengerusi JKKK Kampung Baru dilantik oleh Kerajaan untuk bertanggungjawab sebagai pemimpin tempatan dan menjadi media perantaraan diantara Kerajaan dan penduduk-penduduk Kampung Baru. Tugas mereka antara lain, ialah untuk menerangkan kepada penduduk-penduduk dan mendapatkan kerjasama mereka mengenai dasar-dasar dan pelaksanaan program-program pembangunan Kerajaan, memupuk perpaduan, menjaga keselamatan dan keamanan dikalangan penduduk di Kampung-kampung Baru. Selain daripade itu mereka juga bertanggungjawab dalam mengubah sikap serta pemikiran penduduk Kampung Baru.

2.2 Malah, pihak Kerajaan telah mengesyorkan satu matlamat baru dalam pembangunan baru iaitu memajukan Kampung-Kampung Baru sesuai dengan arus pembangunan. Negara pada keseluruhannya dan seterusnya menghapuskan identity Kampung Baru secara berperingkat-peringkat. Antara tugas-tugas JKKK Kampung Baru dalam konteks ini ialah menggerakkan strategi revolusi mental dan memajukan pemikiran rakyat supaya dapat memupuk dan melahirkan semangat kekitaan dikalangan masyarakat Kampung Baru.

2.3 Oleh yang demikian, dibawah strategi yang baru ini juga, JKKK Kampung Baru boleh memainkan peranan yang luas sebagai pegawai hubungan dan agen perubahan Kerajaan diperingkat akar umbi Kampung-Kampung Baru.

2.4 Selain dari itu, peranan JKKK Kampung Baru juga ialah membantu dalam pelaksanaan projek-projek kecil Kerajaan, iaitu yang dijalankan secara gotong-royong. Dalam hal ini, JKKK akan diberi peranan menggerak dan mengembelingkan masyarakat Kampung Baru dalam menjayakan projek-projek Kerajaan melalui penyertaan dan penglibatan penduduk-penduduk Kampung Baru. Satu masalah yang dihadapi dimasa-masa yang lepas adalah kekurangan sambutan terhadap konsep usaha-usaha sama ini. JKKK perlu diberi tugas untuk mengubah sikap ini. Cara ini akan mengurangkan kos projek serta memupuk semangat kekitaan dikalangan masyarakat Kampung Baru.

3. FUNGSI JKK KAMPUNG BARU

3.1 Fungsi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru yang dicadangkan adalah seperti berikut:
3.1.1 Menentukan rancangan-rancangan pembangunan Masyarakat yang hendak dilaksanakan didalam Kampung Baru serta memilih mana hendak didahului dan projek mana yang boleh dikemudian.

3.1.2 Mengambil daya usaha serta memimpin masyarakat tempatan menjayakan projek-projek yang telah diluluskan dari segi berikut :

a. Bergotong-royong untuk menggalakkan penyertaan bersama oleh orang-orang Kampung.
b. Melincinkan perjalanan semasa projek sedang dilaksanakan
c. Menyediakan atau membantu menyediakan tempat dan sebagainya untuk perlaksanaan sesuatu projek.

3.1.3 Menjadikan badan perhubungan diantara penduduk Kampung Baru dengan pihak Kerajaan dan badan-badan luar.

3.1.4 Bertanggungjawab bersama dengan Jabatan-jabatan Kerajaan atau Pertubuhan sukarela untuk menilai projek-projek pembangunan dan selanjutnya mengambil tindakan-tindakan yang perlu.

3.1.5 Sentiasa mengambil berat terhadap keselamatan Kampung Baru dari anasir-anasir jahat yang boleh merosakkan masyarakat dan negara. Melapurkan aktiviti-aktiviti mereka kepada pihak berkuasa dengan rondaan serta membuat bancian penduduk apabila dikehendaki.

3.1.6 Membuat peraturan-peraturan yang sesuai untuk perlantikan dan tugas-tugas Setiausaha Jawatankuasa dan juga jawantankuasa-jawantankuasa kecil dibawahnya.

3.1.7 Menyimpan segala rekod-rekod program pembangunan masyarakat dan perbincangan yang diadakan di kampong itu.

3.1.8 Melaksanakan apa jua projek atau aktiviti yang difikirkan ada kaitannya dengan pembangunan masyarakat.

3.1.9 Mengadakan mesyuarat tetap sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.

3.2.0 Menjemput sesiapa yang difikir sesuai kerana pengalaman pekerjaan atau kebolehan yang ada padanya untuk menghadiri mana-mana mesyuarat Jawatankuasa.